Friday, 20 January 2012

TEGURAN ITU NASIHAT



Buat yang menegur,
tidak salah menutur bicara,
untuk membetulkan apa yang tak kena,
tapi jangan pernah kau lupa,
yang ditegur itu juga manusia,
punya perasaan punya rasa,
berhemahlah dan lembutlah dalam menyusun kata,
agar apa yang dikata mudah diterima,
juga supaya tiada yang terasa,
lalu menjeruk rasa bermasam muka,
mungkin juga hingga menitis airmata,
kerana pedih dan bisanya kata-kata yang menusuk jiwa.

Buat yang ditegur,
memang tak mudah nak berlapang dada,
bila ada yang memberi teguran secara tiba-tiba,
terasa sesak di jiwa,
terasa ego menyala-nyala,
terasa goyah dari zon selesa,
terasa bergoyang iman di dada,
tapi jangan pernah kau lupa,
yang kau juga manusia biasa,
yang tak mungkin bebas dari berbuat dosa,
jadi harusnya kau gembira,
bila ada yang berani menegur kau didunia,
kerna peluang seperti itu tiada di akhirat sana,
jadi bukalah minda seluas-luasnya,
ukirlah senyuman dimuka,
bila ade secicip teguran yang menerpa,
kerna itu juga menjadi tanda,
diri kau masih ada yang cinta,
dan jalan untuk kau sudah dibuka,
untuk menyusur jalan yang lurus kepada-Nya.
Biiznillah.Allahu a’lam.

[dakwat.org]




"serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik . . . . . . . " [an-nahl:125]

Tiga jenis hati bentuk peribadi manusia credit to Muslim Diary



PERKEMBANGAN jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati.

Bagi hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) maka ia akan membawa tuannya ke jalan selamat di mana kemurniaan ubudiyahnya meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT. Bagi hati yang keji dan mati (qalbun Mayyit) pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu syahwat yang penuh kejahilan sehingga lupa menyembah Allah SWT selaku khaliqnya.

Di antara kedua-dua jenis hati itu, ada pula hati Qalbun Maridh (hati yang sakit) yang masih lagi memiliki nur keimanan tetapi berada dalam keadaan yang samar kerana tidak berupaya berhadapan dengan desakan hawa nafsu.

Dalam penelitian kaum sufi, qalbu disebut sebagai nurani kerana ia memiliki kesedaran antara baik dan buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang kami pilih dari kalangan hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itulah limpah kurnia yang besar dari Allah semata-mata” (surah Fathir: 32).

Berdasarkan ayat ini Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah membahagikan manusia kepada tiga darjat kedudukan :

* Golongan Zhalimun Linafsih - iaitu golongan yang sentiasa menzalimi dan menganiaya dirinya. Mereka adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT, meninggalkan perintah (suruhan dan larangan) serta mengerjakan kejahatan (kemungkaran).

* Golongan Mukhtasid - iaitu golongan manusia darjatnya pertengahan dengan sifatnya cermat, berhati-hati dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi laranganNya.

* Golongan Sabiqun Bil-Khairat - iaitu golongan yang sentiasa aktif dan proaktif dalam melakukan dan mengerjakan kebaikan. Golongan ini tinggi kerohaniannya di mana mereka tidak hanya menunaikan kewajipan, sebaliknya melakukan amalan sunat, tetap istiqamah melaksanakan perintah (suruhan dan larangan) serta meninggalkan perkara yang syubhat dalam kehidupannya.


Sayid Sabiq pula telah membahagikan kekuatan kerohanian manusia kepada tiga tingkat :

1) Nafsu amarah iaitu tingkat nafsu insan paling rendah dan hina yang hanya mengutamakan desakan atau dorongan hawa nafsu semata-mata serta godaan syaitan.

2) Nafsu Lawwammah iaitu nafsu yang dapat mengawal amal salih serta gemar menegur atau mengkritik diri apabila terjerumus ke dalam lembah kemungkaran.

3) Nafsu Mutmainnah iaitu tingkat kerohanian insan paling tinggi dan luhur. Ini adalah jiwa yang tenang lagi suci dalam keadaan kekal melakukan kebaikan amal salih.

Menurut Iman al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiah al-nafs) untuk mencapai tahap nafsu yang diredai seperti tahap nafsu di atas dapat diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Tazkiyyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebas (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) dan mengisi (menghiasi) jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).

Ilmu tasawuf berkaitan dengannya. Dalam pengertian ilmu, tasawuf bermaksud mensucikan qalbu dan menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya ilahi. Amalan tasawuf dibangunkan di atas latihan kerohanian (riyadhat ruhiyyah). Pengamalan dan penghayatan tasawuf adalah bermatlamatkan ibadat dan zuhud semata-mata.

Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dua ilham - ilham berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.


Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.

Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya” (surah Asy-Syams: 7-10).

Sifat qalbu (hati/jiwa) sering berbolak-balik dan sering berperang antara nafi dan isbat. Dalam ayat 1, surah Alam Nasyrah digunakan kata `sadr’ yang bererti “dada” untuk menggambarkan suasana hati (jiwa). Keadaan ini menjelaskan bahawa hati manusia itu bersifat tidak konsisten atau berbolak-balik.

“Perang batin” ini tidak akan berkesudahan selagi ia tidak mencapai kepada keyaqinan (aqidah/keimanan) yang teguh. “Perang batin” ini dapat dirasai ketika manusia ingin melakukan ibadat seperti solat, puasa, berzakat, berjihad dan sebagainya. Untuk mencapai keyaqinan maka jihad melawan hawa nafsu perlu dilaksanakan oleh manusia dan inilah yang sering disebut sebagai “jihad besar”.


Jihad melawan hawa nafsu inilah yang menjadi manhaj (jalan) mengenal Allah SWT. Qalbu (hati) perlu dijaga kerana pengaruhnya terhadap diri dan kehidupan bermasyarakat (bernegara) amat jelas; jika baik hati individu itu maka baiklah amalannya, sebaliknya jika kotor jiwa individu itu maka buruklah amalannya.


Sebuah hadis nabi bermaksud, “Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka akan bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila ia rosak (keji) maka akan rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati” (Muttafaqun `Alaih).

Dalam masyarakat Melayu sering kita mendengar kata-kata seperti ‘Hati Iblis’, ‘Hati Yahudi’,’Hati Malaikat’ dan seumpamanya. Semua bentuk gelaran hati ini melambangkan keperibadian pemiliknya. Hati yang kotor (keji) boleh menjadi hijab kepada ‘Nur Ilahi’.

Qalbu (hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya) kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi huda lil muttaqin (petunjuk kepada hati yang bertakwa).

Justeru, hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadat yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabiin.

Al-Quran menegaskan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran” (Surah al-Kahfi: 28).


                          


Untuk mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.



Wallahualam..

Monday, 16 January 2012

Berubahlah untuk kebaikan...InsyaAllah






بسم الله الرحمن الرحيم

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. [ QS ar-Rad 13:11 ]



Perubahan dimulai dari diri sendiri. Jika perubahan itu baik maka seseorang akan baik, dan sebaliknya jika perubahan itu buruk maka dia akan buruk. Permulaan adalah dari dalam diri seseorang. Sememangnya memperbaiki diri ini bukan satu kerja yang senang apatah lagi terpaksa melalui jalan yang agak sukar sehingga sampai ke satu destinasi yang selamat yang dimimpi-mimpikan oleh semua jiwa yang suci. Jiwa kita adalah jiwa yang suci lagi murni jika teransang untuk mengubah diri dari segala kekotoran jiwa sebelum ini kepada jiwa yang putih laksana salju pada kedinginan musim sejuk. Jika seseorang dalam kesolehan maka kenikmatan akan berkekalan, kesihatan akan bertahan dan petunjuk Tuhan akan selalu menyertai.


Allah berfirman, "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami." [ QS al-Ankabut 29:69 ]


Sebaliknya, barang siapa keadaan dirinya rosak akan mendapatkan murka, kenikmatan lenyap dan nestapa akan menimpa. Allah berfirman, "Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka." [ QS ash-Shaff 61:5 ]


Barangsiapa menginginkan pemeliharaan, perlindungan dan petunjuk Allah, hendaknya dia membuka hati untuk menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sepenuh jiwa. Berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad, batin harus bersih dan berpegang teguh pada ajaran agama. Hendaklah pula ia bersungguh-sungguh berhijrah kepada Allah dengan mengesakan~Nya, bersyukur kepada~Nya, berzikir kepada~Nya dan taat kepada~Nya.


Dengan demikian, barang siapa mendapatkan murka Allah kerana melanggar perintah~Nya, melalaikan wahyu~Nya, tidak bertakwa, menyeleweng dari kebenaran dan melanggar batasan-batasan Allah, maka beritahukan kepada mereka agar bersiap-siap untuk menerima siksa yang kekal, kesulitan yang segera datang, serta kesedihan dan kesengsaraan abadi. Semua itu adalah balasan bagi pengingkarannya terhadap kebenaran, penyelewengannya dari jalan yang lurus, serta kezaliman dan sikap permusuhannya. Meskipun demikian, Tuhanmu tidak menganiaya siapa pun.



Apakah seorang hamba mengira bahawa petunjuk Allah itu akan datang mengetuk pintu rumahnya dan mendatangi dirinya saat di pembaringan? Sekali-kali tidak. Petunjuk Allah itu harus dicari dalam kitab Allah, dalam sunah Nabi, dan di baris pertama solat berjemaah di rumah-rumah Allah. Petunjuk Allah datang ketika kita bersedia menanggalkan pakaian kusut kebatilan, menghindari keyakinan-keyakinan yang salah dan syahwat yang menghancurkan. Hidayah Allah harus dicari di medan dakwah dan jihad.


Barang dagangan Allah amatlah mahal. Tidak dijajakan para penjual di pasar, dan tidak pula ditawarkan oleh para pedagang di permis jualan. Barang dagangan itu sangatlah mahal dan berharga. Hanya boleh dimiliki oleh orang yang mencarinya dengan bersungguh-sungguh. Dia harus membayarnya dengan harga yang tinggi, dengan keringat, air mata, darah, bahkan nyawanya. Bila semua ini telah terpenuhi, dagangan Allah itu akan datang dengan mengenakan perhiasan paling bagus, pakaian termewah dan mahkota yang paling agung.



Seorang hamba harus memulai perjalanan mencari keselamatan dan kebenaran agar tidak disapu oleh taufan kemurkaan yang menenggelamkan syaitan-syaitan terlaknat.

Wallahuallam...