Tuesday, 23 August 2011

Pengajaran untuk kita semua..


Aku Ingin Berubah

“Saya tahu, awak memang orang baik”
“Kau kan budak baik, tiada jahat pun”
Ayat yang biasa aku dengar dari orang. Oh, aku budak baik. Hakikatnya, balik-balik aku cakap, aku ni kejam orangnya. Mungkin sebab janggut aku ni macam ustaz, penampilan pun suci jak, memang terserlah “kebaikan” yang ditonjolkan.
Seram, takut, malah segan. Baik? Ustaz? Maaf, aku bukan baik, jauh lagi untuk dikatakan ustaz. Hanya kerana satu ketika aku sekolah agama, dan aku juga suka membicarakan tentang agama, maka terus dicop budak baik!
Kejahatan yang aku lakukan, hanya Allah dan diriku mengetahuinya. Dosa besar pun ada, dosa kecil apatah lagi. Mungkin ada yang tahu apa yang aku lakukan, tetapi perkara tersebut tidaklah seteruk mana pada dunia akhir zaman sebab kejahatan telah berleluasa, hanya tinggal menunggu masa untuk dibinasa.
Syukur, aku diberi kesedaran atas dosa yang aku lakukan. “Terima kasih cinta, untuk segalanya, kau berikan lagi, kesempatan itu”, bait lagu Afgan, mesti korang fikir aku jiwang. Ya, cinta Allah kepadaku, kerana memberi kesempatan untuk aku memperbaiki diri.
******************************
Fudhail Bin Iyadh, seorang ahli ibadah yang terkenal. Kisahnya telah dinukilkan sebelum ini dalam artikel “Dia antara tokoh terulung“. Namun, sebelum beliau menjadi seorang ulama yang disegani, beliu merupakan seorang penyamun!
Sebab-sebab taubatnya ialah kerana pada suatu hari ia tertarik oleh seorang wanita yang sangat cantik. Ketika beliau sedang memanjat tembok rumah wanita itu untuk melepaskan keinginannya terhadap wanita itu, tiba-tiba terdengar olehnya suara orang yang sedang membaca Al-Qur’an yang artinya:
“Belumlah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka).” (Al-Hadid, 16).
Ayat tersebut menembus hati sanubarinya dan sangat mempengaruhinya, sehingga ia menjadi sedar akan dirinya yang telah terpesong selama ini. Lalu ia berkata,“Oh Tuhan, telah tiba sekarang waktunya.” Ia pun bertaubat dengan setulus-tulusnya.
Lalu ia hendak pulang ke rumahnya. Tetapi karena hari telah larut malam, ia pun pergi ke suatu pondok. Tiba-tiba ternampak olehnya serombongan musafir. Sebahagian dari mereka berkata,“Ayuh kita berangkat.”
Yang lain menjawab,“Jangan, lebih baik tunggu sampai pagi. Sebab, pada malam-malam seperti inilah Fudhail menjalankan aksinya.”
Mendengar percakapan mereka itu, Fudhail lalu menunjukkan dirinya sambil berkata,“Akulah Fudhail. Tetapi sekarang, aku telah bertaubat dan tidak akan menyamun lagi.”
******************************
Mengapakah dititipkan kisah mengenai Fudhail tersebut?
Kebanyakkan kita disajikan dengan ahli ibadah yang teramat hebat kisahnya, namun seringkali juga kita mengeluh, “mana mungkin aku mampu menjadi sedemikian rupa.”
Keinginan untuk berubah bukanlah mampu untuk kita melakukan secara mendadak, tapi, tanpa satu langkah yang kecil, tidak mungkin perubahan mampu dilaksanakan.
Dan rasanya untuk berubah dari kejahatan yang tidak nampak lagi susah berbanding yang secara terang-terangan. Yang jelas, mungkin ada sudi tegur, tapi yang diketahui antara aku dan Dia, hanya aku sahaja mampu untuk melakukan langkah perubahan tersebut.
Titik permulaan perubahan diri ini bermula dari zaman lewat persekolahan. Tapi darah ketika itu masih panas, sekejap iman bertambah, dan pandai juga kurang. Titik perubahan terbesar, detik beberapa hari sebelum Ramadhan tahun 2010.
Aku bersyukur aku dapat menempuhi ujian berupa cinta manusia ketika itu. Diharap dapat istiqamah dalam apa yang dilaksanakan. Terus mempertingkatkan diri, kerana ingin yang terbaik dalam hidup ini.
Teringat ibu dan bapaku, mampukah doaku memberi rahmat jika mereka tiada nanti? Sebagai lelaki yang bertanggungjawab terhadap seorang wanita yang aku kenal kebaikannya, mampukah aku menjadi yang terbaik buatnya? Itulah motivasi diriku dalam sentiasa memperbaiki diri. Terima kasih buat mereka ini.
Marabbuka, moga aku mampu menjawabnya dengan baik, oleh itu, aku mesti sentiasa mempertingkatkan diri, sebelum ajal menjemput bila tiba saatnya nanti.
******************************

No comments:

Post a Comment