Thursday 17 May 2012

Hati Yang Mati Apa Sebabnya ?

Daripada buku " Bertaubatlah! Nak Tunggu Sampai Bila....."



         Ibrahim bin Adham pernah ditanya : "Apa sebabnya doa kami tidak diperkenankan ?Sedangkan Allah s.w.t telah menjanjikan bahawa orang yang berdoa akan diperkenankan-Nya ?" Ibrahim bin Adham menjawab : "Sebab hati kamu telah mati."

         "Apa yang menyebabkan hati kami mati ?" Tanya mereka lagi.



         Ibrahim bin Adham menjawab : "kerana lapan perkara."

  1. Kamu mengetahui hak Allah, tetapi kamu tidak melaksanakannya.
  2. Kamu baca Al-Quran tetapi tidak mengamalkan isinya.
  3. Kamu katakan cinta Rasulullah s.a.w tetapi tidak mengetahui sunnahnya.
  4. Kamu katakan kamu takut mati tetapi tidak bersedia menuju ke kubur.
  5. Allah mengatakan syaitan itu musuh kamu, hendaklah kamu jadikan sebagai musuh, tetapi kamu masih berbuat maksiat dengannya.
  6. Kamu katakan kamu takut api neraka tetapi kamu campakkan diri ke dalamnya.
  7. kamu katakan kamu sukakan syurga, tetapi kamu tidak berusaha untuk masuk ke dalamnya.
  8. Kamu bangkit daripada tempat tidur lalu kamu sembunyikan aib-aib kamu sedangkan aib-aib orang lain kamu bentangkan di hadapan kamu.

         
Nauzubillah min zalik.....




Wednesday 9 May 2012

Indahkan Dunia dengan Maaf




"Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan di akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya disisi manusia."                                                                                                                                  -Imam Syafie-

Orang yang suka memaafkan orang lain adalah hasil dorongan keredaan hatinya kepada Allah. Dia memahami dirinya sendiri sebagai insan yang bersifat kekurangan dan tidak sunyi daripada melakukan kesalahan sama ada secara sedar ataupun tidak.

Manusia dapat mengawal hati dan dirinya menerusi akal. Tetapi dengan sifat kelemahan semula jadi, kadang kala manusia terjerumus ke dalam pujukan hawa nafsu dan perasaan sehingga menenggelamkan rasional dan tidak dapat membuat pertimbangan yang betul.

"Sifat memaafkan adalah perbuatan terpuji. Ia menzahirkan kebersihan hati yang suci murni." 

Oleh sebab itu, Islam sentiasa membuka pintu taubat untuk manusia memohon ampun kepada Allah bagi segala perlakuan yang terlanjur.

Bukan perkara yang menghinakan apabila menjadi individu yang pemaaf, kerana di situ wujud sifat terpuji seorang Muslim iaitu :
  • Menunjukkan kebijaksanaan
  • Bersih daripada sifat sombong
  • Bersih daripada dendam
  • Tidak ada rasa hina diri
  • Mempunyai iman yang mantap



Renung-renungkan....dan selamat beramal...:)
Wallahu'alam...

Thursday 8 March 2012

Muhasabah Diri...







Entah mengapa
ketika aku melihat indahnya alam
hatiku menangis
airmata maknawi mengalir dalam dadaku
pilu sayu terharu
hatiku berkata
Tuhan Tidak Kau jadikan sesuatu dengan sia-sia
Aku ini hanyalah hambaMu
yang banyak dosa
Layakkah aku menikmati keindahanMu ini
sedangkan hatiku buta dalam mengenaliMu..

Ohh.....sesungguhnya aku sentiasa menzalimi diriku sendiri
ajarkanlah aku bertaubat ya Tuhan
didiklah aku yang selalu tersasar ini
tanpa pimpinanMu
tiada makna lagi hidup ini
bagai dedaun kering
yang terbang dibawa angin lalu
tiada arah dan tujuan lagi

Kasih dan Sayangnya Kekasih Allah


Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abubakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abubakar r.a. Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Ke esokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abubakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a.

Peristiwa ini menunjukkan betapa murninya hati Rasulullah taktala di beri cacian dan hinaan tp ianya dsmbut dgn kelembutn hati dan kesabaran..racun diberi tp madu yg dibalas..dakwah perlukn kesabaran.."sesungguhnya pada diri Rasulullah itu adalah contoh dan tauladan yang baik"...Allahumma Solli 'Ala Muhammad..

Hijrah Hati








Duhai hati.

Apa yang kau cari.


Isimu banyak terluka.

Kisahmu penuh sengketa.

Cukuplah dengan dusta.

Tidak perlu kau menadah.

Untuk jiwa yang tak pernah kisah.


Untuk arjuna yang hanya singgah.

Lupakan dia.

Janjimu jangan kau lupa.

Untuk dia yang tak diketahui siapa.


Duhai hati.

Relakan dirimu dengan takdirNYA.

Tadbirkan hidupmu dengan jalanNYA.

Ikhlaskan jiwamu dengan dugaanNYA.

Yakinlah pasti kau temui bahagia.

Yang hilangkan semua air mata.

Yang leraikan semua kecewa.


Kepada ALLAH hati dituju.

RahmatNYA masih jauh untuk bertemu.

Tapi berusahalah dekatkanNYA denganmu.

Terlalu jauh langkah ini berlalu.

Tapi ketenangan masih dirindu.

Dosa tetap berlingkar padu.

Oh hinanya sendu.

Sendu yang bukan selayaknya perlu!

Friday 20 January 2012

TEGURAN ITU NASIHAT



Buat yang menegur,
tidak salah menutur bicara,
untuk membetulkan apa yang tak kena,
tapi jangan pernah kau lupa,
yang ditegur itu juga manusia,
punya perasaan punya rasa,
berhemahlah dan lembutlah dalam menyusun kata,
agar apa yang dikata mudah diterima,
juga supaya tiada yang terasa,
lalu menjeruk rasa bermasam muka,
mungkin juga hingga menitis airmata,
kerana pedih dan bisanya kata-kata yang menusuk jiwa.

Buat yang ditegur,
memang tak mudah nak berlapang dada,
bila ada yang memberi teguran secara tiba-tiba,
terasa sesak di jiwa,
terasa ego menyala-nyala,
terasa goyah dari zon selesa,
terasa bergoyang iman di dada,
tapi jangan pernah kau lupa,
yang kau juga manusia biasa,
yang tak mungkin bebas dari berbuat dosa,
jadi harusnya kau gembira,
bila ada yang berani menegur kau didunia,
kerna peluang seperti itu tiada di akhirat sana,
jadi bukalah minda seluas-luasnya,
ukirlah senyuman dimuka,
bila ade secicip teguran yang menerpa,
kerna itu juga menjadi tanda,
diri kau masih ada yang cinta,
dan jalan untuk kau sudah dibuka,
untuk menyusur jalan yang lurus kepada-Nya.
Biiznillah.Allahu a’lam.

[dakwat.org]




"serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik . . . . . . . " [an-nahl:125]

Tiga jenis hati bentuk peribadi manusia credit to Muslim Diary



PERKEMBANGAN jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati.

Bagi hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) maka ia akan membawa tuannya ke jalan selamat di mana kemurniaan ubudiyahnya meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT. Bagi hati yang keji dan mati (qalbun Mayyit) pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu syahwat yang penuh kejahilan sehingga lupa menyembah Allah SWT selaku khaliqnya.

Di antara kedua-dua jenis hati itu, ada pula hati Qalbun Maridh (hati yang sakit) yang masih lagi memiliki nur keimanan tetapi berada dalam keadaan yang samar kerana tidak berupaya berhadapan dengan desakan hawa nafsu.

Dalam penelitian kaum sufi, qalbu disebut sebagai nurani kerana ia memiliki kesedaran antara baik dan buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang kami pilih dari kalangan hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itulah limpah kurnia yang besar dari Allah semata-mata” (surah Fathir: 32).

Berdasarkan ayat ini Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah membahagikan manusia kepada tiga darjat kedudukan :

* Golongan Zhalimun Linafsih - iaitu golongan yang sentiasa menzalimi dan menganiaya dirinya. Mereka adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT, meninggalkan perintah (suruhan dan larangan) serta mengerjakan kejahatan (kemungkaran).

* Golongan Mukhtasid - iaitu golongan manusia darjatnya pertengahan dengan sifatnya cermat, berhati-hati dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi laranganNya.

* Golongan Sabiqun Bil-Khairat - iaitu golongan yang sentiasa aktif dan proaktif dalam melakukan dan mengerjakan kebaikan. Golongan ini tinggi kerohaniannya di mana mereka tidak hanya menunaikan kewajipan, sebaliknya melakukan amalan sunat, tetap istiqamah melaksanakan perintah (suruhan dan larangan) serta meninggalkan perkara yang syubhat dalam kehidupannya.


Sayid Sabiq pula telah membahagikan kekuatan kerohanian manusia kepada tiga tingkat :

1) Nafsu amarah iaitu tingkat nafsu insan paling rendah dan hina yang hanya mengutamakan desakan atau dorongan hawa nafsu semata-mata serta godaan syaitan.

2) Nafsu Lawwammah iaitu nafsu yang dapat mengawal amal salih serta gemar menegur atau mengkritik diri apabila terjerumus ke dalam lembah kemungkaran.

3) Nafsu Mutmainnah iaitu tingkat kerohanian insan paling tinggi dan luhur. Ini adalah jiwa yang tenang lagi suci dalam keadaan kekal melakukan kebaikan amal salih.

Menurut Iman al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiah al-nafs) untuk mencapai tahap nafsu yang diredai seperti tahap nafsu di atas dapat diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Tazkiyyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebas (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) dan mengisi (menghiasi) jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).

Ilmu tasawuf berkaitan dengannya. Dalam pengertian ilmu, tasawuf bermaksud mensucikan qalbu dan menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya ilahi. Amalan tasawuf dibangunkan di atas latihan kerohanian (riyadhat ruhiyyah). Pengamalan dan penghayatan tasawuf adalah bermatlamatkan ibadat dan zuhud semata-mata.

Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dua ilham - ilham berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.


Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.

Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya” (surah Asy-Syams: 7-10).

Sifat qalbu (hati/jiwa) sering berbolak-balik dan sering berperang antara nafi dan isbat. Dalam ayat 1, surah Alam Nasyrah digunakan kata `sadr’ yang bererti “dada” untuk menggambarkan suasana hati (jiwa). Keadaan ini menjelaskan bahawa hati manusia itu bersifat tidak konsisten atau berbolak-balik.

“Perang batin” ini tidak akan berkesudahan selagi ia tidak mencapai kepada keyaqinan (aqidah/keimanan) yang teguh. “Perang batin” ini dapat dirasai ketika manusia ingin melakukan ibadat seperti solat, puasa, berzakat, berjihad dan sebagainya. Untuk mencapai keyaqinan maka jihad melawan hawa nafsu perlu dilaksanakan oleh manusia dan inilah yang sering disebut sebagai “jihad besar”.


Jihad melawan hawa nafsu inilah yang menjadi manhaj (jalan) mengenal Allah SWT. Qalbu (hati) perlu dijaga kerana pengaruhnya terhadap diri dan kehidupan bermasyarakat (bernegara) amat jelas; jika baik hati individu itu maka baiklah amalannya, sebaliknya jika kotor jiwa individu itu maka buruklah amalannya.


Sebuah hadis nabi bermaksud, “Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka akan bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila ia rosak (keji) maka akan rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati” (Muttafaqun `Alaih).

Dalam masyarakat Melayu sering kita mendengar kata-kata seperti ‘Hati Iblis’, ‘Hati Yahudi’,’Hati Malaikat’ dan seumpamanya. Semua bentuk gelaran hati ini melambangkan keperibadian pemiliknya. Hati yang kotor (keji) boleh menjadi hijab kepada ‘Nur Ilahi’.

Qalbu (hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya) kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi huda lil muttaqin (petunjuk kepada hati yang bertakwa).

Justeru, hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadat yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabiin.

Al-Quran menegaskan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran” (Surah al-Kahfi: 28).


                          


Untuk mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.



Wallahualam..